PETALING JAYA: Bagai satu dalam sejuta, hasrat murni usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri menaja salah seorang pekerjanya menunaikan ibadah umrah raih perhatian ramai.
Menurut Aliff, pekerjanya yang dikenali sebagai Syira Azmi itu selayaknya mendapat tawaran tersebut kerana kualiti dan sikap komitednya bekerja bersama pengasas produk tempatan itu.
“Allah tak sangka pula benda ini jadi viral. Saya bagi memang ikhlas sebab awak kerja memang bagus. Apa yang penting walaupun saya bising awak tak pernah ambil hati.
“Kerja pun tak berkira masa, takkanlah saya nak berkira dengan awak,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, usahawan itu turut menzahirkan ucapan penghargaan buat pekerja berkenaan kerana sentiasa hormat dan menghargainya sebagai seorang majikan.
“Terima kasih juga kerana menghargai saya dan menghargai syarikat jasa anda amat amatlah saya hargai,” ujarnya.
Terdahulu, tular seorang pengguna platform tersebut meluahkan rasa terharu apabila menerima tawaran untuk menunaikan umrah daripada syarikat D’Herbs Holding Sdn Bhd naungan Aliff.
“Alhamdulillah, terima kasih Datuk dan Datin. Kerja bukan sekadar tentang gaji, tetapi juga tentang berada dalam persekitaran yang sihat, di mana wujudnya rasa hormat, penghargaan dan peluang untuk berkembang.
“Tempat kerja yang baik membuatkan kita kekal bukan kerana terpaksa, tetapi kerana kita benar-benar mahu #bestevercompany,” kongsinya.










