Skuad sepak takraw terima syiling emas 999

Skuad sepak takraw terima syiling emas 999

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan bertemu bersama barisan atlet yang meraih prestasi bersejarah pada Sukan SEA 2025 di Thailand ketika Majlis Penghargaan Emas buat Juara Sepak Takraw Sukan SEA di Tanjung Lounge, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), semalam. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad sepak takraw lelaki negara menerima habuan syiling emas peringatan 999 eksklusif seberat enam gram bagi setiap pemain sebagai tanda penghargaan selepas merangkul dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Insentif itu disumbangkan oleh Telekom Malaysia (TM) pada majlis apresiasi yang diadakan semalam bagi meraikan kejayaan skuad sepak takraw negara yang melakar sejarah menjuarai acara regu berpasukan dan regu di temasya dwitahunan itu.

Seramai 17 pemain dan tiga pegawai menerima insentif berkenaan dengan lima pemain iaitu Syahir Rosdi, Farhan Adam, Azlan Alias, Haziq Hairum Nizam dan Noraizat Nordin menerima keseluruhan 12 gram syiling emas selepas turut menjuarai acara regu.

Malaysia menamatkan penantian 34 tahun muncul juara apabila menundukkan musuh tradisi, Thailand pada aksi final regu berpasukan sebelum menewaskan Vietnam untuk meraih emas kedua menerusi acara regu.

Tekong utama negara, Syahir menyifatkan penghargaan diterima kali ini sebagai suntikan moral terbaik buat pasukan untuk terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa termasuk di Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang bakal berlangsung pada Mei depan.

“Insentif yang luar biasa bagi kami. Ia akan menaikkan semangat dan moral kami untuk terus menaikkan nama Malaysia di persada sepak takraw dunia,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kejayaan di Thailand menandakan permulaan lembaran baharu buat sukan sepak takraw negara.

“Menamatkan penantian selama 34 tahun untuk memenangi pingat emas amat bermakna kepada sukan ini dan juga kepada negara. Pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan, pengorbanan dan kepercayaan pemain serta jurulatih selama bertahun-tahun.

“Kami menghargai sokongan padu TM yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh persiapan pasukan dan meningkatkan keyakinan skuad kebangsaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN