PETALING JAYA: Kemelut kewangan yang melanda Hakim Danish Ramli mungkin dapat diselesaikan selepas Petronas Sprinta dikhabarkan sudi menaja pelumba Moto3 negara itu.
Anak muda berusia 18 tahun tersebut akan melakukan penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia yang bakal membuka tirai pada Grand Prix (GP) Thailand hujung bulan ini.
Meskipun perjanjian itu tidak sempat dimeteraikan sewaktu pelumba MSi Racing Team itu beraksi pada 27 Februari hingga 1 Mac ini, tetapi, sekurang-kurangnya isu kewangan tidak lagi menjadi beban buat Hakim Danish.
Menurut sumber terdekat, Rabu lalu, terdapat perbincangan antara Petronas Sprinta dan ZK Racing bagi menaja Hakim Danish yang berdepan isu kekurangan dana.
Utusan Malaysia difahamkan perbincangan itu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Pemasaran Minyak Pelincir Petronas Malaysia Sdn Bhd (PLMM), Mohd Zameer Zahur Hussain dan pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berserta dua lagi wakil.
Objektif rudingan tersebut adalah membincangkan tentang kerjasama dua hala antara Petronas Sprinta dan ZK Racing yang turut melibatkan pasukan Hakim Danish iaitu MSi Racing Team.
“Hasil perbincangan tampak positif, tetapi sebarang perkara boleh terjadi selagi tiada kata putus dari Petronas Sprinta kerana perlu mengusulkan cadangan ini kepada pihak atasan iaitu ibu pejabat Petronas.
“Jika diluluskan, bajet disalurkan oleh Petronas Sprinta, cuma kelulusan daripada ibu pejabat, setakat ini 50-50, terpulang kepada pihak atasan Petronas,” kata sumber tersebut.
Isu kekurangan dana melanda Hakim Danish, selepas peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil masa yang agak lama untuk diluluskan.
Ekoran kelewatan yang berlaku, Hakim Danish amat memerlukan suntikan dana daripada sektor swasta yang dilihat mampu menyelesaikan kemelut kewangan tersebut.
Namun, bagi mendapatkan sokongan sektor swasta pula, anak jati Terengganu itu berdepan layanan ‘kelas kedua’ yang tidak seharusnya dilalui selepas beraksi cemerlang berada di kedudukan ketiga keseluruhan pada Piala Red Bull MotoGP Rookies, musim lalu.
Selaku pelumba ganti Moto3 untuk pasukan Frinsa MT Helmets MSi Team musim lepas pula, Hakim Danish berjaya meraih enam mata daripada dua perlumbaan pada GP Portugal (tempat ke-12) dan GP Valencia (tempat ke-14).-UTUSAN










