‘Hanya pertemuan biasa, tiada langkah khusus’

‘Hanya pertemuan biasa, tiada langkah khusus’

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pertemuan pemimpin Pas termasuk Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Rusila, Marang, Terengganu petang semalam, didakwa hanya perjumpaan biasa dan berlaku secara tidak dirancang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut serta dalam pertemuan itu berkata, pertemuan itu tidak melibatkan agenda khusus antara mereka.

“Saya sebenarnya menghadiri mesyuarat di Kuala Terengganu dan diberitahu ada rombongan diketuai bekas Timbalan Presiden Bersatu.Tidak ada sebarang perbincangan atau apa-apa langkah khusus mengenai tindakan ke atas beliau (Hamzah) sebab beliau sendiri belum tahu tindakan ke atasnya ketika itu.

“Sebagai sebuah parti politik, Pas tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti politik lain. Dalam Perikatan Nasional (PN) ada empat parti dan Pas hanya urus perihal partinya sahaja. Kalau ada di peringkat PN, kita bincang bersama-sama,” katanya selepas Majlis Perasmian Klinik Hayat 24 Jam Cherang, di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin, pertemuan itu juga tidak boleh dijadikan gambaran Pas menyokong mana-mana kem kerana semua kem serta semua parti politik boleh singgah di Masjid Rusila.

“Masjid Rusila adalah sebuah institusi yang boleh dikunjungi oleh mana-mana pihak sama ada dari dalam atau luar negara. Jadi tidak betul dakwaan itu. Pas adalah salah satu parti dalam PN dan hubungan kita hanya sebagai ahli dalam sebuah gabungan parti politik

“Sudah tentu apa yang berlaku ada natijah dan kesan kepada PN tetapi saya yakin keutuhan kita sebagai sebuah gabungan tidak goyah. Ia adalah kemelut dalaman dan saya yakin yang dipecat ada hak untuk merayu dan akan membuat rayuan. Keadaan mungkin berubah dan kita harap yang terbaik,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa jam selepas notis pemecatan dikeluarkan, Hamzah memuat naik status terkini menerusi laman Facebook beliau memaparkan foto pertemuannya bersama beberapa pemimpin Pas di Rusila.

Dalam gambar yang dikongsikan itu, turut kelihatan Abdul Hadi yang juga Presiden Pas; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang yang juga Menteri Besar Terengganu; Takiyuddin dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN