PETALING JAYA: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijangka mengumumkan keputusan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minggu depan.
Perkembangan terbaharu itu disahkan jurucakap CAS, Vanessa dan tempoh sehingga minggu depan diambil kerana panel yang terlibat dalam kes berkenaan memerlukan masa tambahan untuk membuat pertimbangan.
Menurut Vanessa, keputusan tidak dapat diumumkan dalam tempoh terdekat seperti yang dijangkakan sebelum ini susulan sesi pendengaran yang berlangsung lebih lama.
“Susulan sesi pendengaran hari ini, panel akan mengambil masa untuk membuat pertimbangan. Saya tidak dapat memberikan tempoh masa tepat bagi keputusan, namun keputusan awal (tanpa alasan penuh) dijangka diumumkan pada minggu depan.
“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, satu kenyataan media akan dikeluarkan. Saya akan memaklumkan kepada anda sebaik sahaja ia diterbitkan,” katanya.
Menurut Vanessa, selepas keputusan awal diumumkan, alasan penuh penghakiman akan disediakan dan diserahkan kepada pihak terlibat pada satu tarikh kemudian bagi memperincikan asas pertimbangan panel.
“Sekiranya pihak berkenaan tidak meminta kerahsiaan, keputusan itu akan disiarkan di laman sesawang Mahkamah Timbang Tara Sukan,” jelasnya lagi.
Sebagai rekod, kemelut ini tercetus selepas FIFA mengenakan penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Malaysia susulan isu tertentu berkaitan peraturan kelayakan pemain.
Tujuh pemain tersebut ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Berikutan keputusan itu, FAM segera mengemukakan rayuan kepada CAS dengan harapan hukuman tersebut dapat disemak semula, sekali gus membuka ruang kepada pemain-pemain berkenaan untuk kembali memperkuatkan skuad kebangsaan dalam masa terdekat.-UTUSAN










