SEPANG: Pelumba Sepanyol, muncul terpantas pada sesi pertama hari kedua Ujian Pramusim MotoGP Malaysia 2026 selepas mencatat masa 1 minit 56.874 saat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Catatan tersebut meletakkan pelumba Honda itu di hadapan Franco Morbidelli dari pasukan VR46 Ducati, sekali gus menjadi masa terpantas setakat ini sepanjang ujian rasmi pramusim berkenaan.
Di sebalik prestasi memberangsangkan Mir, tumpuan paddock turut terarah kepada perkembangan Yamaha yang masih belum menurunkan jentera mereka pada awal hari kedua susulan isu teknikal.
“Pasukan masih menjalankan siasatan terhadap masalah teknikal yang berlaku semalam.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan sehingga semua pemeriksaan selesai, ujian ini diletakkan sementara waktu dan kami menjangkakan ia akan disambung secepat mungkin,” kata Yamaha kepada pemberita di sini, hari ini.
Yamaha sebelum ini merancang menurunkan lima pelumba untuk menguji enjin V4 baharu di Sepang, namun kesemuanya kekal di pit sepanjang dua jam pertama sesi pagi.
Pasukan Jepun itu turut mengesahkan masalah teknikal berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kemalangan Fabio Quartararo yang mengalami kecederaan jari dan terpaksa menarik diri daripada baki ujian, semalam.
Sementara itu, juara dunia 2025, Marc Marquez memulakan hari kedua dengan langkah sederhana apabila sekadar berada di kedudukan ke-15 selepas mendominasi sesi pembukaan semalam. – UTUSAN










