PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu bahawa budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa perlu menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baginda bertitah, kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan sahaja terletak pada aset dan teknologi, tetapi juga pada nilai integriti.
“Integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat.
“Budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” titah Baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Baginda berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara.
“Kepemimpinan tertinggi ATM diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan selaras dengan perkembangan cabaran keselamatan semasa,” titah Baginda.
Pada pertemuan berkenaan, Baginda turut menyatakan keyakinan bahawa PAT yang baharu mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi. – UTUSAN










