MABA sasar satu emas Sukan SEA 2027

MABA sasar satu emas Sukan SEA 2027

LEE Tian Hock ketika ditemui pemberita pada majlis Makan Malam Tahunan MABA, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan SEA 2027 di Malaysia dengan acara 3×3 menjadi taruhan utama skuad negara.

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, saingan dalam kategori 5×5 khususnya menentang Filipina dilihat sukar, sekali gus menjadikan sasaran emas lebih realistik menerusi acara 3×3.

“Kita tahu kekuatan dan kelemahan kita, untuk lima sepasukan cabaran besar ialah Filipina dan kalau dapat perak pun sudah sangat memuaskan, tetapi emas kita bergantung kepada 3×3.

“Pasukan 3×3 kita kini berada di ranking ke-11 dunia dan sudah layak ke Sukan Komanwel di Glasgow, jadi kedudukan ini perlu dikekalkan atau diperbaiki bagi memastikan peluang emas di Sukan SEA,” kata Tian Hock.

Pada Sukan SEA Thailand 2025, skuad 3×3 negara meraih dua pingat gangsa menerusi pasukan lelaki yang menewaskan Filipina 21-19 serta pasukan wanita yang menundukkan Vietnam 21-20, manakala tuan rumah muncul juara acara lelaki dan Indonesia mengungguli saingan wanita.

Sementara itu, Tian Hock memaklumkan MABA telah meluluskan peruntukan keseluruhan RM9.1 juta bagi tahun ini merangkumi RM7.3 juta untuk aktiviti bola keranjang dan RM1.8 juta bagi kos operasi.

Menurutnya, kestabilan kewangan persatuan diperkukuh menerusi model penjanaan pendapatan sendiri yang membolehkan MABA melaksanakan program pembangunan tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Atas sebab itu, saya menyifatkan MABA sebagai persatuan yang mampan dari segi kewangan kerana mampu terus beroperasi dan menjalankan aktiviti walaupun tanpa sumbangan kerajaan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN