IGB REIT sasar kenaikan sewaan pertengahan satu digit

IGB REIT sasar kenaikan sewaan pertengahan satu digit

CIMB Securities mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas IGB REIT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) menyasarkan purata pelarasan kadar sewaan pada kadar pertengahan satu digit bagi tahun kewangan 2026, disokong permintaan penyewa yang stabil serta sumbangan penuh Mid Valley Southkey Mall (MVS Mall).

Setakat 31 Disember 2025, nisbah penggearan IGB REIT berada pada paras 31 peratus berbanding 22 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya, masih jauh di bawah had kawal selia 50 peratus, sekali gus menyediakan ruang untuk pemerolehan aset baharu.

Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang berkata, bagi 2026, kira-kira 40.5 peratus, 26.0 peratus dan 19.1 peratus daripada keluasan boleh disewa bersih (NLA) masing-masing di Mid Valley Megamall (MVM), The Gardens Mall (TGM) dan MVS Mall akan tamat tempoh pajakan dan perlu diperbaharui.

“Penyewa utama dijangka memperbaharui pajakan pada 2026 termasuk AEON, GSC dan Celebrity Fitness (MVM), Fitness First, Marks & Spencer dan Redbox (TGM) serta Regency Medical dan Padini (MVS).

“Pegangan saham asing berada pada paras 8.5 peratus setakat akhir Disember 2025,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan sumbangan setahun penuh pertama daripada MVS akan menjadi pemacu utama pendapatan IGB REIT tahun ini dengan andaian pusat beli-belah itu menyumbang 34 peratus daripada unjuran pendapatan hartanah bersih tahun kewangan 2026.

“Kami juga melihat potensi pelarasan kadar sewaan lebih kukuh di MVS dalam beberapa tahun akan datang, disokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), peningkatan ketibaan pelancong serta kadar sewaan yang masih lebih rendah berbanding MVM dan TGM.

“Namun begitu, potensi kenaikan harga unit dilihat terhad pada paras semasa, walaupun masih disokong oleh unjuran hasil agihan sekitar 5.2 peratus hingga 5.4 peratus bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027,” ujarnya,

Sementara itu, IGB REIT merekodkan peningkatan keuntungan bersih teras sebanyak 46 peratus tahun ke tahun dan 21 peratus suku ke suku pada suku keempat tahun kewangan 2025 kepada RM125 juta.

Ini didorong oleh sumbangan pendapatan daripada MVS Mall serta kenaikan hasil sewaan di MVM dan TGM.

Bagi tahun kewangan 2025, keuntungan bersih teras meningkat 18.4 peratus tahun ke tahun kepada RM436 juta, melebihi unjuran Cimb Securities dan konsensus masing-masing sebanyak 4.0 peratus dan 11 peratus, terutamanya disumbang oleh sumbangan sulung MVS Mall. 

Kumpulan turut mengisytiharkan pengagihan pendapatan suku keempat tahun kewangan 2025 (DPU) sebanyak 2.97 sen, menjadikan jumlah DPU tahun kewangan 2025 sebanyak 11.75 sen, selari dengan jangkaan Cimb Securities dan konsensus.

CIMB Securities mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas IGB REIT dengan harga sasaran baharu berasaskan model Diskaun Dividen (DDM) sebanyak RM3.02 sesaham (sebelum ini RM2.43). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN