JABATAN Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah melancarkan agenda transformatif melalui tema “Reformasi POLYCC Memacu Lonjakan TVET Negara” sempena Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), Dr. Shamsuri Abdullah yang telah diadakan di Politeknik Merlimau Melaka (PMM) baru-baru ini.
Katanya, tahun 2026 merupakan fasa penting untuk memposisi semula politeknik dan kolej komuniti melalui pengenalan Pendidikan Teknikal dan Profesional (PTE) sebagai hala tuju baharu bagi mengangkat reputasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan amalan negara maju.
Antara pengumuman utama dalam majlis tersebut adalah pengenalan kepada 13 Iltizam 2026 sebagai kompas dan kerangka tindakan warga politeknik dan kolej komuniti dalam mendepani cabaran serta trend TVET masa kini dan akan datang.
Di antara iltizam penting yang dikemukakan ialah penjenamaan politeknik dan kolej komuniti sebagai pelopor PTE, pemerkasaan kolej komuniti, perundangan politeknik dan kolej komuniti, pembudayaan konsep ‘pengoptimuman dan penggabungan’, polisi ‘tiada pelajar yang ketinggalan’ serta memperhebat pengantarabangsaan.
Srategi tanpa pelaksanaan mantap tidak akan menjanjikan kejayaan. Warga politeknik dan kolej komuniti perlu berani membebaskan diri daripada zon selesa dan melaksanakan reformasi yang berfokus, berdisiplin, serta berasaskan fakta bagi memastikan polteknik dan kolej komuniti kekal sebagai penyumbang terbesar tenaga kerja mahir negara. – UTUSAN
JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI










