PETALING JAYA: Malaysia dianggarkan rugi RM5 bilion setahun akibat penyeludupan rokok, walaupun pelbagai penguatkuasaan dilakukan bagi menangani isu pasaran gelap yang menyebabkan kehilangan cukai kepada negara.
Penganalisis jenayah, Datuk Seri Dr. Akhbar Satar berkata, walaupun pelaburan besar dibuat setiap tahun bagi menangani aktiviti penyeludupan, ketirisan cukai masih kekal sebagai isu yang membimbangkan termasuk aktiviti rokok seludup yang menjadi cabaran kepada kutipan hasil kerajaan.

Katanya, sindiket rokok seludup beroperasi secara tersusun dan sistematik yang mempunyai rangkaian luas serta pemahaman mendalam terhadap prosedur kastam dan kerangka perundangan.
Jelasnya, pengetahuan tersebut membolehkan mereka menyesuaikan aktiviti dengan pantas sebagai tindak balas terhadap keutamaan penguatkuasaan dan kekangan operasi.
“Ia selalunya sebagai sebahagian daripada rangkaian jenayah rentas sempadan yang lebih besar, termasuk yang terlibat dengan sindiket jenayah dan organisasi pengganas, pengedaran dadah, penyeludupan manusia serta pengubahan wang haram.
“Perdagangan rokok seludup dianggarkan menyebabkan Malaysia kehilangan sehingga RM5 bilion hasil setiap tahun, sekali gus menghakis kewangan awam, menjejaskan pasaran sah dan mengukuhkan ekonomi gelap.
“Ini bermakna perdagangan rokok seludup bukan sekadar kesalahan berkaitan hasil semata-mata tetapi menjadi saluran kepada pengukuhan jenayah terancang, memberikan tekanan berterusan kepada usaha keselamatan sempadan serta mengakibatkan kerugian berpanjangan kepada hasil dan imej negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar berkata, penguatkuasaan boleh diperkukuh melalui kerjasama antara agensi dan pendekatan pelbagai disiplin untuk meluaskan jangkauan serta menyokong tindakan perundangan terhadap penyeludup bersindiket.
Ujarnya, kerjasama antarabangsa dan mekanisme perkongsian maklumat yang berstruktur turut dapat meningkatkan keupayaan pihak berkuasa untuk menjejaki, mengganggu dan memintas rangkaian penyeludupan rentas sempadan yang beroperasi merentasi pelbagai bidang kuasa.
“Keadaan ini juga menekankan kepentingan memastikan agensi penguatkuasaan dibekalkan dengan sumber yang mencukupi, termasuk sokongan bajet, tenaga kerja serta keupayaan teknologi yang terkini dan bersesuaian, bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab secara berkesan sebagai sebahagian daripada tindak balas nasional yang bersepadu.
“Malah, kerajaan membelanjakan sebanyak RM715 juta pada tahun ini bagi tujuan penguatkuasaan semata-mata. Usaha ini mencerminkan tahap profesionalisme, ketegasan serta komitmen berterusan di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, rokok seludup tidak boleh ditangani semata-mata sebagai isu penguatkuasaan di sempadan.
Katanya, ia perlu diiktiraf sebagai cabaran lebih luas terhadap keselamatan ekonomi dan tadbir urus negara, dengan potensi kaitan kepada jenayah terancang.
Ujarnya, dalam sesetengah kes, rokok seludup melibatkan pembiayaan aktiviti ekstremis atau pengganas.
“Keadaan ini memerlukan satu pendekatan bersepadu yang menghimpunkan penguatkuasaan, penglibatan dengan pemain industri tembakau utama, pengawal seliaan pasaran, dasar awam serta inisiatif untuk mempengaruhi tingkah laku pengguna.
“Tanpa pendekatan yang seimbang dan menyeluruh, pasaran rokok seludup dijangka akan terus berlarutan, sekali gus terus menjejaskan hasil kerajaan dan kepentingan keselamatan negara secara keseluruhan,” ujarnya. – UTUSAN










