Jangan nafikan hak bekas Exco FAM

Jangan nafikan hak bekas Exco FAM

Bangunan Wisma FAM di Kelana Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peletakan jawatan beramai-ramai Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini bukan alasan untuk menghukum atau menyingkirkan mereka daripada landskap kepimpinan bola sepak negara.

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, menegaskan setiap individu sama ada muka baharu mahupun bekas penyandang berhak bertanding merebut jawatan Exco, selagi mendapat pencalonan dan kepercayaan ahli gabungan.

“Semua orang berhak dan layak bertanding tetapi syarat utama adalah dicalonkan serta mendapat sokongan ahli gabungan. Memang ada dengar tentang pandangan mengenai Exco lama tidak boleh bertanding.

“Perlu diingat pilihan itu bergantung kepada ahli gabungan dan orang yang kata itu juga mereka ingin bertanding silakan, tidak perlu menentukan siapa yang layak.

“Saya rasa ada yang lupa atau tidak begitu arif mengenai statut FAM. Mereka yang memegang jawatan bagi sesuatu penggal dipilih oleh ahli gabungan. Ini bermakna mereka telah diberi kepercayaan dan dilihat mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, beberapa pemerhati menggesa supaya Exco yang meletak jawatan secara serentak susulan skandal pemalsuan dokumen pemain warisan tidak wajar menawarkan diri untuk dipilih semula pada Kongres FAM akan datang.

Mengulas gesaan itu, Zainal menegaskan peletakan jawatan beramai-ramai Exco FAM dilakukan atas dasar tanggungjawab demi memastikan badan induk tersebut, serta bola sepak negara, dapat ‘diselamatkan’ daripada berdepan hukuman lebih berat daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau yang hanya berkhidmat selama 11 bulan berkata, apabila krisis tersebut berlaku beberapa muka baharu lain tetap memilih untuk berundur secara sebulat suara demi memelihara integriti FAM.

“Kami bukan kambing hitam, kami tidak lari daripada tanggungjawab dan melakukan pengorbanan demi kebaikan bola sepak negara, demi FAM.

“Saya masih baharu dalam FAM… tiba-tiba krisis ini berlaku. Kami membaca statut, membaca semua peraturan. Cara terbaik untuk membersihkan nama baik FAM adalah dengan meletak jawatan,” jelasnya.

Zainal turut menepis tanggapan bahawa peletakan jawatan tersebut hanyalah helah politik untuk membuka ruang merebut kembali jawatan lama dalam pemilihan akan datang.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali berkhidmat, tetapi hanya jika ahli gabungan sendiri memilih untuk memberi kepercayaan kepadanya semula.

“Kami tidak meletak jawatan semata-mata untuk bertanding semula. Sama ada kami bertanding atau tidak, itu sepenuhnya keputusan ahli gabungan.

“Jika mereka (ahli gabungan) meneliti penglibatan saya, ada kebaikan dan mereka masih memerlukan saya, Insya-Allah saya akan kembali. Saya masih baru di situ, baru nak membuat sesuatu dan mencurahkan segala pengalaman saya untuk bola sepak, krisis ini melanda,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN