BUTTERWORTH: Surau Ar-Rijal di sini bernilai RM1.5 juta yang dibina hasil sumbangan masyarakat melalui Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI) mula digunakan semalam.
Pengasas Yayasan RI, Datuk Rizalman Ibrahim berkata, projek itu memberi makna besar kepadanya kerana beliau tidak pernah membayangkan dapat terlibat dalam penyediaan rumah ibadah bagi masyarakat sekitar.
Beliau juga terharu dengan komitmen para penyumbang yang membantu merealisasikan projek tersebut dalam tempoh setahun.
“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan terbabit dalam pembinaan rumah Allah di kawasan ini. Namun Allah permudahkan segala urusan, dan saya sangat bersyukur.
“Jarang ada projek yang sepenuhnya bergantung kepada dana orang ramai dan penyumbang persendirian berjalan begitu lancar. Ini semua nikmat Allah yang sangat luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena perasmian surau yang terletak di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, Butterworth, semalam.
Selain memanfaatkan pengalaman sebagai bekas pereka fesyen, Rizalman berkata, reka bentuk surau itu menitikberatkan kesederhanaan sesuai dengan peranan sebagai tempat ibadah.
Katanya, keutamaan surau tersebut bukan hanya keindahan reka bentuk, sebaliknya pada fungsi sebagai ruang yang menyatukan masyarakat melalui aktiviti keagamaan.
Rizalman turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah dalam setiap usaha, bertepatan dengan teladan yang ditunjukkan para rasul.
Surau Ar-Rijal kini dibuka sepenuhnya kepada masyarakat setempat bagi pelaksanaan ibadah dan program komuniti. – UTUSAN










