PETALING JAYA: Sambutan Tahun Baharu Cina hari ini menjadi detik yang paling bermakna buat jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou selepas dinobatkan juara dunia buat kali kesembilan, pada Sabtu lalu.
Liek Hou muncul juara dunia selepas menewaskan pemain No.3 dunia dari Taiwan, Fang Jen Yu, 21-6, 21-11 pada final perseorangan lelaki SU5 pada Kejohanan Para Badminton Dunia di Isa Sports City, Manama, Bahrain.
Lebih manis, atlet berusia 38 tahun itu membawa emas berganda apabila menjuarai acara beregu lelaki SU5 bersama Faris Ahmad Azri, menyaksikan pasangan Malaysia yang menghuni ranking ke-28 dunia itu mengejutkan beregu No.3 dunia dari Taiwan, Jen Yu–Pu Gui Yu, 23-21, 21-13.
“Dua pingat emas ini adalah hadiah yang sangat besar untuk diri saya sendiri sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Saya sangat gembira kerana pada usia 38 tahun, saya masih mampu memenangi dua gelaran pada Kejohanan Dunia,” kata Liek Hou.
Sebelum ini, Liek Hou merangkul kejuaraan perseorangan lelaki SU5 pada 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017, 2022 dan 2024, sekali gus menewaskan legenda skuasy wanita negara, Datuk Nicol David yang memegang rekod juara dunia terbanyak Malaysia sebanyak lapan kali.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024 itu kini turut mengumpul tujuh gelaran juara dalam saingan beregu lelaki SU5 selepas memenanginya pada 2005, 2007, 2011, 2013, 2015 dan 2024.
Dalam pada itu, keputusan Liek Hou mengutamakan pemulihan fizikalnya selepas Sukan Para ASEAN (APG) di Thailand bulan lalu ternyata membuahkan hasil pada kejohanan dunia kali ini selepas persiapannya terjejas pada temasya berkenaan.
Liek Hou berkata masalah tidur, makanan yang tidak sesuai serta kemudahan yang kurang memuaskan mendorong beliau untuk tidak memaksa diri sepenuhnya di APG memandangkan Kejohanan Dunia berlangsung hanya kira-kira seminggu selepas itu.-UTUSAN










