AEON Credit penaja utama Hakim Danish

AEON Credit penaja utama Hakim Danish

HAKIM Danish akan membuka aksi Moto3 bersama AEON Credit sebagai penaja utama pasukannya pada GP Thailand di Buriram, Thailand, hujung minggu ini. -IHSAN ZK RACING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencarian penaja utama (title sponsor) Hakim Danish Ramli akhirnya menemui titik noktah apabila sebuah syarikat multinasional dari Jepun, AEON Credit Service (M) Berhad bersetuju memberikan sokongan terhadap karier pelumba Moto3 negara itu.

Sebelum ini, pelumba berusia 18 tahun yang bernaung di bawah pasukan Sepanyol, MSi Racing Team itu bergelut untuk mendapatkan sokongan daripada syarikat koporat tempatan.

Namun, di atas kesudian AEON Credit, satu kolaborasi terjalin dengan pasukan diwakili Hakim Danish kini beroperasi di bawah penjenamaan baharu AEON Credit-MT-MSi.

Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, kehadiran AEON Credit sebagai penaja utama buat Hakim Danish tiba tepat pada masanya.

“Komitmen dan pelaburan daripada AEON Credit memberi impak besar kepada kesinambungan program pembangunan yang kami rangka.

“Tanpa sokongan kukuh daripada rakan korporat strategik seperti AEON Credit, adalah sukar untuk meletakkan bakat muda negara di pentas dunia,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, Daisuke Maeda pula berkata, pelaburan itu mencerminkan visi jangka panjang syarikat dalam menyumbang secara langsung kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi di Malaysia.

“Kerjasama ini melangkaui konsep penajaan semata-mata. Ia merupakan pelaburan strategik berasaskan kepercayaan terhadap nilai disiplin, ketekunan dan peluang yang ditawarkan oleh sukan permotoran sebagai platform pembinaan generasi masa hadapan.

“Sukan permotoran selari dengan nilai teras AEON Credit yang menekankan ketabahan, semangat juang dan keunggulan. Kami komited untuk membina ekosistem yang mampan bagi melahirkan juara dan ikon sukan negara pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Maeda, kesungguhan serta kematangan prestasi yang ditunjukkan oleh Hakim Danish sepanjang musim 2025, khususnya ketika aksi wild card di Grand Prix (GP) Malaysia, telah mengukuhkan keyakinan pihaknya terhadap pelumba itu.

“Melalui penajaan AEON Credit-MT-MSi, kami mahu menyediakan persekitaran yang stabil agar bakat muda seperti Hakim Danish dapat terus berkembang dan mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Hakim Danish menyifatkan sokongan AEON Credit sebagai suntikan motivasi utama bagi menghadapi cabaran baharu dalam perlumbaan Moto3.

“Sokongan daripada AEON Credit ini merupakan pembakar semangat terbesar buat saya. Fokus saya kini sepenuhnya untuk membalas kepercayaan yang diberikan dan memberikan prestasi terbaik di pentas dunia.

“Berita ini pastinya meningkatkan motivasi saya khususnya menjelang perlumbaan GP Thailand pada 28 Februari-1 Mac ini. Saya ucapkan terima kasih kepada AEON Credit, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan ZK Racing yang bekerja keras memastikan kerjasama ini direalisasikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN