Villa terlepas peluang hambat Arsenal

Villa terlepas peluang hambat Arsenal

UNAI EMERY - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Unai Emery mengakui Aston Villa kehilangan satu peluang terbaik untuk menghambat Arsenal di tangga teratas liga selepas tewas 0-1 kepada Everton di Villa Park, semalam.

Bagaimanapun, Emery menyeru agar semua pihak melihat situasi itu dengan perspektif yang lebih luas selepas pasukannya terlepas peluang untuk kembali ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

Villa kini tujuh mata di belakang pendahulu liga, Arsenal dan berkongsi mata dengan Manchester City, dengan ketiga-tiga pasukan tercicir mata dalam perebutan kejuaraan pada hujung minggu lalu.

City tewas kepada Manchester United di Old Trafford, manakala Arsenal diikat tanpa jaringan oleh Nottingham Forest.

“Kami sedang melalui musim yang fantastik. Apabila kami bermain menentang Everton (pada September), kami seri dan prestasi kami lebih teruk berbanding sekarang.

“Sudah tentu, hari ini (semalam) kami kehilangan satu peluang yang sangat baik dan kami berada di hadapan pasukan lain yang bersaing untuk berada di kedudukan yang kami capai sekarang.

“Kami terlepas peluang untuk berada di tempat kedua liga, sesuatu yang benar-benar hebat. Tetapi selepas merasai kekecewaan kerana kalah dalam perlawanan ini, kami mesti cuba untuk kembali kepada pendekatan positif kami.

“Bola sepak adalah tentang menang, kalah, atau seri. Apabila anda kalah, anda sedih seperti yang kami rasakan sekarang, apabila anda menang, anda gembira. Tetapi kebanyakannya, kami telah lebih banyak masa gembira daripada sedih,” kata Emery.

Villa turut beraksi tanpa kapten, John McGinn yang terpaksa dikeluarkan selepas 18 minit beraksi akibat kecederaan lutut.

Mereka turut beraksi tanpa Boubacar Kamara yang mengalami kecederaan lutut dan menurut Emery ia berkemungkinan bersifat jangka panjang manakala Amadou Onana juga tidak diturunkan kerana masalah hamstring.

“Onana dan (Ross) Barkley akan kembali dalam satu atau dua minggu. Kami mempunyai pemain yang mencukupi untuk memberikan prestasi yang kami perlukan. Sudah tentu kami perlu menggantikan beberapa pemain yang akan meninggalkan pasukan.

“Sudah tentu apabila ada pemain yang mengalami kecederaan, itu tidak baik, tetapi itulah bola sepak dan kami perlu menerimanya. Ia adalah peluang untuk pemain lain beraksi,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN