PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mendedahkan terdapat tiga syarikat swasta menyatakan minat untuk menganjurkan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026.
Setiausaha Agung PKBM, Arif Astaman berkata, sebuah syarikat telah membuat permohonan secara terus kepada Pejabat Perdana Menteri, manakala dua syarikat lagi menerusi agensi kerajaan.
“Ada tiga syarikat yang mohon untuk anjurkan LTdL 2026 tapi tiada permohonan melalui PKBM. Setakat ini, kami tidak tahu siapa mereka kecuali satu syarikat sahaja.
“Syarikat tersebut membuat permohonan mereka terus kepada Pejabat Perdana Menteri dan kita tahu pun sebab syarikat itu memberi salinan permohonan mereka kepada kami.
“Melalui perbincangan secara tidak rasmi dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN), kami difahamkan bahawa terdapat dua lagi pemohon yang menyatakan minat, tetapi tidak dimaklumkan tentang butiran lanjut mengenai pemohon berkenaan, cadangan khusus yang dikemukakan mahupun penerima permohonan tersebut,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan status penganjur LTdL 2026 masih menjadi tanda tanya meskipun perlumbaan berstatus 2.ProSeries itu kekal dalam kalendar siri jelajah dunia musim ini.
Penganjur LTdL 2026 hanya diketahui selepas satu kertas kerja dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini bagi mendapatkan kelulusan penganjuran serta peruntukan dana.
Mengulas lanjut, Arif mengakui situasi tersebut menimbulkan kerisauan namun badan induk itu tidak panik.
“PKBM sentiasa berkeyakinan tinggi dengan segala kerjasama yang bakal diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara untuk menjayakan perlumbaan ini,” katanya.-UTUSAN










