Lelaki ubahsuai senapang angin ditahan polis

Lelaki ubahsuai senapang angin ditahan polis

DZULKHAIRI Mukhtar menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Melaka menumpaskan kegiatan pengubahsuaian senapang angin selepas merampas enam laras senjata berkenaan bersama sepucuk pistol dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan di Tanjung Minyak, di sini awal hari ini.

Dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun turut ditahan oleh sepasukan anggota Unit D7 dan D9, Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemeriksaan di kediaman suspek menemukan enam laras senapang angin bersama komponen, sepucuk pistol jenis Sig Sauer pistol serta 100 butir peluru 9 milimeter jenis blank cartridges.

Menurut beliau, polis turut merampas tiga set walkie-talkie, satu set radio komunikasi mudah alih, enam beg sarung laras senapang, mesin gerudi serta beberapa peralatan seperti alat pengukur dan pengikir yang dipercayai digunakan untuk mengubah suai senjata berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki kemahiran memodifikasi senapang angin yang dibeli pada harga sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebelum dijual semula pada harga antara RM3,000 hingga RM3,500.

“Pistol yang ditemui pula dipercayai milik individu lain yang dihantar kepada suspek untuk dibaiki,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, suspek yang berasal dari Melaka dipercayai mempunyai pelanggan dari seluruh negara dengan kebanyakan senapang angin yang dimodifikasi digunakan untuk aktiviti memburu atau sebagai koleksi peribadi.

Tambahnya, lelaki itu dipercayai mempelajari teknik pengubahsuaian senjata tersebut menerusi saluran YouTube dan pernah ditahan atas kesalahan sama pada tahun 2022 selain mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah dan ugutan jenayah.

“Suspek juga dipercayai kerap berpindah-randah di beberapa lokasi di negeri ini bagi mengelak kegiatan tersebut dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, ujian balistik sedang dijalankan oleh Unit Senjata IPK Melaka bagi menentukan sama ada pistol berkenaan pernah digunakan dalam sebarang kes jenayah sebelum ini.

Suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menjangkakan antara 300,000 hingga 400,000 kenderaan akan memasuki negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, hanya kira-kira 10 peratus daripada hampir 3,000 pegawai dan anggota polis di negeri ini dibenarkan bercuti bagi memastikan kawalan keselamatan serta kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.

“Aliran trafik dijangka meningkat terutama di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin khususnya laluan menuju ke Muar kerana ia sering digunakan oleh perantau yang pulang ke Johor Bahru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN