Suri rumah dicekik suami gara-gara ayam gepuk

Suri rumah dicekik suami gara-gara ayam gepuk

MOHD RUSDI DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera selepas dipukul dan diugut dengan pisau sayur oleh suaminya hanya kerana meminta dibelikan ayam gepuk dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Ikan Ayu, Cheras di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.03 malam hari sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 33 tahun dipercayai meminta suaminya membelikan ayam gepuk kerana mengidam.

Bagaimanapun, permintaan tersebut mencetuskan pertengkaran antara pasangan berkenaan sebelum lelaki terbabit bertindak memarahi mangsa.

“Suspek turut memarahi mangsa dengan menyebut dia membela tiga ekor anjing di dalam rumah itu dan menyuruh mangsa memasak sendiri.

“Semasa kejadian, suspek mencekik leher mangsa sebelum mencapai sebilah pisau sayur dan meletakkannya di leher mangsa.

“Suspek kemudian menampar muka dan menumbuk kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan leher sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN