Strategi Zii Jia makan diri

Strategi Zii Jia makan diri?

Kelihatan Lee Zii Jia (kiri) sedang dirawat petugas perubatan akibat kecederaannya pada aksi suku akhir Thailand Masters menentang Alwi Farhan dari Indonesia di Stadium Nimibutr, Bangkok, semalam. - IHSAN LAMAN X
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia untuk ke separuh akhir Kejohanan Badminton Thailand Masters 2026 terkubur selepas terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika aksi suku akhir menentang wakil Indonesia, Alwi Farhan, semalam.

Turun beraksi dalam kejohanan keempat berturut-turut dalam tempoh kurang sebulan, Zii Jia jelas terpaksa membayar dengan ‘harga mahal’ apabila fizikalnya gagal menampung beban aksi intensiti tinggi, biarpun memulakan aksi dengan cemerlang apabila memenangi set pertama 21-10.

Bagaimanapun, momentum berkenaan tidak bertahan lama apabila Alwi yang juga juara remaja dunia bangkit memenangi pertarungan pada set kedua 21-15, sebelum Zii Jia membuat keputusan mengejut menarik diri dan tidak meneruskan aksi set penentuan.

Difahamkan, bekas juara All England itu mengalami kecederaan pada tangan kanan melibatkan bahagian jari sejurus tamat set kedua, namun tiada pengesahan rasmi mengenai tahap sebenar kecederaan yang dialaminya.

Lebih membimbangkan, kecederaan itu tercetus ketika Zii Jia masih dalam fasa membina semula ketahanan fizikal selepas berehat panjang musim lalu akibat masalah buku lali dan belakang yang memaksanya memohon perlindungan ranking dunia.

Aksi di Thailand Masters menjadi pencapaian terbaiknya musim ini, namun kejayaan sementara itu seolah-olah tidak sepadan dengan risiko besar yang diambil apabila dia memilih untuk menyertai empat kejohanan berturut-turut, meskipun sejarah kecederaan masih menghantui.

Ketika ini, Zii Jia perlu menyertai lebih banyak kejohanan bagi memperbaiki kedudukan ranking yang kini di kedudukan ke-79 dunia yang menyaksikan atlet kelahiran Alor Setar, kedah itu terlepas aksi All England 2026.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN