PETALING JAYA: Skuad futsal kebangsaan memasang impian untuk melakar kejutan di Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia hujung bulan ini biarpun berada dalam kumpulan maut.
Dalam kejohanan itu, skuad kendalian Addie Azwan Zainal diundi dalam Kumpulan D bersama pasukan gergasi Asia, Iran selain Afghanistan dan Arab Saudi.
Katanya, buat masa ini, sasaran utama pasukan tertumpu kepada pendekatan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan bagi memaksimumkan persediaan taktikal permainan.
“Tidak dinafikan skuad negara berdepan dengan pasukan saingan yang hebat, tetapi saya tetap yakin dengan kebolehan pasukan skuad negara.
“Sebagai pasukan yang dilihat dengan ranking paling rendah, saya tetap yakin adanya rezeki untuk pasukan kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia,
Menurut Addie, skuad negara akan berlepas ke Indonesia hari ini bagi mengharungi tiga aksi persahabatan bagi menguji kekuatan pasukan.
Ditanya mengenai taktikal Addie yang juga legenda futsal negara memilih untuk mengekalkan corak kerja pasukan tanpa perubahan besar mengambil kira keserasian antara ahli pasukan.
Mengulas cabaran pembangunan futsal di Malaysia, Addie berkata kejohanan bawah 19 tahun (B-19) baru-baru ini membuktikan Malaysia turut memiliki barisan pelapis tempatan yang berkualiti.
“FAM telah merangka program jangka panjang untuk memberi pendedahan supaya kita boleh membentuk pasukan yang kuat dalam kejohanan antarabangsa akan datang” katanya.-UTUSAN










