Lebih 2,000 orang maut akibat serangan Israel di Lubnan - Utusan Malaysia

Lebih 2,000 orang maut akibat serangan Israel di Lubnan

PENYOKONG Parti Hizbollah memegang poster mengecam Benjamin Netanyahu dan Nawaf Salam ketika protes besar-besaran berhampiran Istana Kerajaan di pusat bandar Beirut.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan serangan Israel sudah mengorbankan 2,020 orang sejak perangnya dengan Hizbollah yang disokong Iran bermula bulan lalu.

Angka terbaharu daripada Kementerian Kesihatan Lubnan itu termasuk 248 wanita, 165 kanak-kanak dan 85 petugas perubatan serta kecemasan yang terbunuh. Seramai 6,436 orang cedera sejak negara itu terheret ke dalam perang Asia Barat pada 2 Mac. 

Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, sebarang perjanjian damai dengan Lubnan mesti berkekalan untuk generasi akan datang.

“Lubnan telah mendekati kami. Dalam sebulan lalu, ia telah beberapa kali menghubungi untuk memulakan rundingan damai secara langsung.

“Saya telah memberikan kelulusan, tetapi dengan dua syarat,  kami mahu pelucutan senjata Hizbollah dan kami mahu perjanjian damai sebenar yang akan bertahan untuk generasi (akan datang),” kata Netanyahu dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Hizbollah bagaimanapun menegaskan penolakannya terhadap rundingan langsung antara Israel dan Lubnan, ketika pihak berkuasa melaporkan 10 orang terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di selatan negara itu.

Pada Jumaat, pejabat Presiden Lubnan, Joseph Aoun memaklumkan pegawai dari negaranya, Israel dan Amerika Syarikat (AS) akan bertemu di Washington untuk membincangkan pengisytiharan gencatan senjata serta tarikh permulaan rundingan antara Lubnan dengan Israel di bawah naungan AS.

Ratusan orang berkumpul berhampiran ibu pejabat kerajaan di Beirut bagi menyokong Hizbollah dan membantah rundingan dengan Israel, dengan sebahagian mengibarkan bendera kuning kumpulan itu atau Iran.

Seorang penduduk, Oula Hammoud dari selatan Lubnan berkata, rakyat menolak sebarang normalisasi dengan Israel dan mahu Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam meninggalkan negara.

“Sejak awal perang hingga kini, hanya para pejuang yang mempertahankan kami. Apa yang telah dia Nawaf lakukan untuk negara?” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×