KOTA BHARU: Pas bersedia menerima Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menyertai parti itu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Larut itu perlulah mengemukakan permohonan rasmi terlebih dahulu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu terbuka menerima sesiapa sahaja untuk menjadi ahli tetapi setiap kemasukan perlu mematuhi prosedur ditetapkan.
Katanya, setakat ini Pas masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Hamzah.
“Beliau (Hamzah) kena memohon dahulu barulah kita buat keputusan (terima atau tidak) dan itu merupakan prosedur biasa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Hamzah yang memberitahu ‘rumah baharu’ yang bakal disertainya berkemungkinan berada dalam parti sedia ada iaitu Perikatan Nasional (PN)
Hamzah juga menegaskan, beliau tidak akan meninggalkan PN dalam perjuangan politiknya pada masa ini.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, Pas telah menerima lebih daripada 2,000 ahli baru termasuk daripada bekas pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan daripada parti lain.-UTUSAN










