Perubahan taktikal gagal bantu United

Perubahan taktikal gagal bantu United

MANCHESTER United terikat 2-2 dengan burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BURNLEY: Perubahan taktikal kepada sistem empat pertahanan yang diterapkan pengurus sementara, Darren Fletcher gagal memberi impak segera buat Manchester United.

Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam, United terikat 2-2 dengan Burnley di Stadium Turf Moor dengan Benjamin Sesko meledak dua jaringan buat The Red Devils.

Fletcher dalam tugasan pertamanya meninggalkan sistem 3-4-3 digunakan Ruben Amorim yang dikritik hebat sebelum ini dengan kembali kepada formasi empat pertahanan.

Bagaimanapun, perubahan taktikal itu belum cukup untuk menghadiahkan kemenangan dengan Burnley meraih dua gol menerusi jaringan sendiri Ayden Heaven serta ledakan Jaidon Anthony.

Fletcher yang juga bekas bintang tengah united, bagaimanapun tetap berpuas hati dengan tahap komitmen pemainnya, meskipun mengakui pasukan perlu lebih klinikal di hadapan.

“Apabila mendahului 2-1, anda mahu menamatkan perlawanan dengan baik atau menjaringkan satu lagi gol.

“Usaha dan komitmen pemain sangat baik, dan saya gembira dengan tahap persembahan mereka, tetapi saya tahu mereka masih boleh beri lebih lagi,” katanya.

Sesko yang dibeli United daripada RB Leipzig dengan nilai keseluruhan mencecah RM419 juta, mengakui dua gol pada perlawanan ini telah membantu meningkatkan keyakinan dirinya.

“Ia membantu keyakinan saya, tetapi yang paling penting adalah membantu pasukan dalam apa jua situasi.

“Ia satu tempoh yang sukar, tetapi akhirnya saya berjaya dan gembira dapat membantu pasukan. Itu paling penting bagi saya, dan kini terpulang kepada saya serta pasukan untuk teruskan momentum ini,” kata Sesko yang setakat ini meledak empat gol.

Keputusan itu menyaksikan United jatuh ke tangga ketujuh, dipintas Brentford dan Newcastle serta ketinggalan dua mata di belakang Liverpool yang berada di tangga keempat.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN