Masalah Velodrom Rakyat macam kanser- Josiah

Masalah Velodrom Rakyat macam penyakit kanser- Josiah

KEADAAN permukaan trek Velodrom Rakyat yang rosak dan tidak selamat digunakan.-IHSAN PKBM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pelumba negara, Josiah Ng menyifatkan isu yang membelenggu Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak seperti penyakit kanser kerana berdepan masalah berulang sejak 20 tahun lalu.

Menurut Josiah, masalah utama berpunca daripada kegagalan pihak bertangungjawab memasang bumbung menyebabkan trek kayu mudah rosak dan setiap kali diperbaiki, masalah sama akan muncul semula, seolah-olah kembali ke titik permulaan.

“Ia ibarat kanser, betul tak? Kalau anda ada trek kayu yang terbuka, satu-satunya cara untuk selesaikan masalah ini ialah tindakan jangka panjang.

“Anda tak boleh selesaikannya secara sementara dengan hanya membaikinya. Trek itu mungkin tahan beberapa tahun sahaja, kemudian akan kembali kepada keadaan asal,” kata Josiah kepada Utusan Malaysia.

Velodrom Rakyat pernah menjadi lokasi bertaraf dunia bagi Kejohanan Dunia B UCI 1997 dan Siri Piala Dunia Trek 2000 serta 2001, namun kini terbiar dan tidak selamat untuk latihan atau perlumbaan.

Josiah yang pernah berlumba di Velodrom Rakyat pada Siri Piala Dunia Trek 2000 mendakwa pengurusan sebelum ini membiarkan isu berulang kerana ada pihak yang mendapat keuntungan daripada kerja baik pulih sementara.

“Cara paling penting ialah pasang bumbung. Jangan buang satu sen pun untuk baik pulih sehingga bumbung dipasang. Jika tiada bumbung, tiada maknanya. Ia ibarat gajah mati.

“Masalah ini berulang kerana ada pihak yang mendapat keuntungan daripada kerja baik pulih semula, betul?,” katanya.

Justeru Josiah mencadangkan dua penyelesaian kekal iaitu memasang bumbung terlebih dahulu atau menukar permukaan trek kepada aluminium, yang mampu menahan cuaca ekstrem seperti di Velodrom Tucson, Amerika Syarikat.

“Permukaan trek Velodrom itu diperbuat daripada aluminium, iaitu trek permukaan aluminium pertama di dunia. Trek seperti itu direka untuk menahan suhu dan cuaca yang ekstrem, jadi jika dibuat dengan aluminium, ia akan sesuai digunakan di Malaysia,” katanya.

Semalam, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merayu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyelamatkan yang kini berada dalam keadaan kritikal, dianggap tidak selamat dan berisiko tinggi untuk digunakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN