KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberikan penjelasan kepada Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan lebihan kapasiti pengeluaran dan penggunaan buruh paksa yang menjadi antara isu dalam siasatan di bawah Seksyen 301 negara itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dakwaan lebihan kapasiti pengeluaran tidak semestinya bermaksud Malaysia melakukan amalan lambakan (dumping) terhadap produk yang dieksport ke pasaran Amerika Syarikat.
Beliau berkata, sekiranya Malaysia mempunyai lebihan kapasiti sekali pun, ia tidak bermakna negara ini menjual produk pada harga lebih rendah bagi menjejaskan peniaga di negara tersebut.
“Kalau kita ada lebihan kapasiti sekali pun, tetapi kalau kita bukan melakukan ‘dumping’, kita boleh tunjukkan kos kita. Harga yang kita jual di Malaysia dengan harga yang kita eksport boleh dibandingkan.
“Kalau harga yang kita jual di sini sama dengan harga kita eksport, tidak boleh kata kita melakukan ‘dumping’,” katanya pada sidang akhbar pada majlis sembang santai anjuran Peniaga Bundle Malaysia dan Majlis Belia Kawasan Titiwangsa di After 6 Coffee, Kampung Baru semalam.
Johari berkata, amalan lambakan lazimnya berlaku apabila sesuatu produk dijual pada harga lebih rendah di pasaran eksport berbanding harga di negara asal bagi menjejaskan persaingan peniaga tempatan.
Terdahulu, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) menerusi wakilnya, Jamieson Greer, memulakan siasatan terhadap 60 ekonomi di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berkaitan kapasiti berlebihan struktur dan pengeluaran dalam sektor perkilangan.
Antara negara yang terlibat ialah beberapa rakan dagang utama Amerika Syarikat termasuk tujuh negara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Mengulas dakwaan berkaitan buruh paksa, Johari berkata Malaysia mempunyai undang-undang buruh yang jelas bagi memastikan kebajikan pekerja dilindungi serta mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi.
“Buruh paksa ini termasuk jika menggunakan pekerja tanpa permit yang sah atau pekerja dibayar di bawah kadar gaji minimum yang ditetapkan.
“Selain itu, penggunaan pekerja bawah umur juga tidak dibenarkan di bawah undang-undang negara ini,” katanya. – UTUSAN










