Zamri, Tamim dikesan ke Thailand melalui jalan sah - Utusan Malaysia

Zamri, Tamim dikesan ke Thailand melalui jalan sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjejaki penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang dipercayai melarikan diri ke Thailand bagi membawa pulang kedua-duanya untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JS) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya melalui pegawai perhubungan keselamatan (SLO) PDRM di Thailand turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan kedua-dua mereka.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka dikesan keluar dari negara ini melalui jalan sah ke Thailand.

“Kita (PDRM) sedang menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi membawa pulang mereka untuk dituduh di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan ke Thailand.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Katanta, arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN