PETALING JAYA: Penceramah bebas, Zamri Vinoth pergi ke Thailand bukan melarikan diri seperti didakwa, sebaliknya berada di negara itu atas urusan perniagaan
Peguam Aidil Khalid berkata, Zamri selalu berulang-alik ke Thailand kerana mempunyai perniagaan melibatkan dua negara.
Beliau berkata, akaun Facebook Zamri yang disekat menyukarkannya membuat penerangan bahawa dirinya akan menghadapi segala pertuduhan.
“Semua media sosialnya diturunkan atau disekat. Jadi masyarakat cuma dibenar mendengar satu cerita sahaja, kononnya Zamri cabut lari.
“Ingat balik ya, kejadian Zamri diserang dan cermin keretanya dipecahkan. Dia mangsa tetapi dia pula yang nak dituduh,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini
Aidil juga merupakan peguam kepada aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Zamri dan Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan dikesan melarikan diri ke Thailand.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Mohd. Khalid berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. – UTUSAN










