MAS ‘tendang’ jurulatih terjun gagal capai KPI

MAS ‘tendang’ jurulatih terjun gagal capai KPI

AKSI penerjun negara di Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akuatik Malaysia (MAS) tidak menyambung kontrak dua adik-beradik jurulatih terjun negara dari China, Li Jun Bai dan Li Jun Song, berikutan kegagalan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi musim 2025.

Pengarah teknikal terjun MAS, Yeoh Ken Nee berkata, penerjun di bawah pemantauan Jun Bai gagal mencapai KPI mengikut kontrak kejurulatihannya.

“Persatuan sentiasa memantau perkembangan jurulatih dan tindakan ini adalah sebahagian daripada mekanisme akauntabiliti prestasi.

“Bagi Jun Bai, keputusan (tidak sambung kontrak) diambil kerana beberapa penerjun di bawah pengawasannya tidak mencapai KPI yang dipersetujui,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, situasi berbeza bagi Jun Song yang pendekatannya didapati tidak selaras dengan hala tuju program secara menyeluruh.

Jun Song, yang bertugas di bawah program Fast Track untuk membangunkan penerjun bagi Sukan Olimpik Brisbane 2032, dinilai tidak memenuhi kehendak jangka panjang MAS.

“Bagi Jun Song, pendekatan kejurulatihannya dinilai dan didapati tidak sepenuhnya selaras dengan visi jangka panjang persatuan untuk program ini. Perubahan ini diuruskan melalui proses semakan dalaman,” katanya.

Jun Bai menyertai pasukan kebangsaan pada 2022 dan dilantik ke skuad Podium bersama jurulatih dari China, Mao Lin, serta bekas penerjun kebangsaan Nor Aznizal Najib.

Beliau turut memainkan peranan penting membimbing Bertrand Rhodict Lises ke final acara platform 10 meter (m) lelaki di Kejohanan Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, sekaligus menjadikannya atlet Malaysia pertama layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Kontrak kedua-dua jurulatih berkenaan tamat pada 31 Disember 2025 dan difahamkan Jun Bai sudah menerima tawaran Akuatik Singapura.

Pemergian dua jurulatih itu menyaksikan susunan jurulatih MAS kini mengekalkan Mao Lin dan Nor Aznizal Najib di Program Podium, Lu Jia Ning, Datuk Leong Mun Yee dan Ooi Tze Liang sebagai jurulatih pelapis, manakala Farah Begum Abdullah mengendalikan program Fast Track.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN