Jika hilang slot Asia, Liga M tetap berjalan

Jika hilang slot Asia, Liga M tetap berjalan

Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Malaysia (Liga M) berisiko ‘jatuh standard’ jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berisiko disekat bertanding di peringkat Asia, sedikit sebanyak menjejaskan prestij Liga M, di mana semua kelab-kelab yang bertanding sebelum ini memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) serta Kejuaraan Kelab ASEAN.

Jika FAM digantung, mereka hanya mampu bergelar ‘jaguh kampung’ apabila sekadar merebut trofi dipertandingkan di peringkat domestik iaitu bersaing memburu empat kejuaraan utama Liga M iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim melihat perkara itu daripada pelbagai sudut dan kesan kepada bola sepak negara terutama melibatkan saingan Liga M.

Jelasnya, secara umumnya jika berlaku penggantungan FIFA terhadap FAM maka akan ada sekatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan ia sedikit sebanyak menjejaskan pendedahan kepada kelab-kelab Liga M di peringkat Asia.

Namun begitu, standard Liga M sebenarnya masih kekal seperti biasa dengan kekal mempertandingkan empat kejuaraan utama tetapi hanya kekurangan tawaran slot beraksi di Asia seperti sebelum ini.

“Seperti saya kata dahulu, MFL (Liga Bolasepak Malaysia) perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan sebaik sahaja tercetus hukuman FIFA terhadap FAM.

“Mereka perlu ada pelan A dan B bagi memastikan saingan liga berjalan seperti biasa dan kekal kompetitif. Mungkin kita hanya hilang tempat bersaing di peringkat Asia, selain kehilangan daya tarikan pemain import berkualiti namun saingan tempatan dilihat akan tetap berjalan seperti biasa.

“Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu pembangunan bola sepak dan memeriahkan liga kita. Penggantungan juga tidak akan selama-lamanya dan mungkin ini masa untuk kita memperbaiki kelemahan-kelemahan ada dengan menjadi lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tambahnya, jika mahu dibandingkan Liga M bakal menjadi seperti liga sosial, ia perbandingan yang jauh kerana struktur pertandingan jelas berbeza, selain pemain-pemain berstatus profesional serta menerima gaji bulanan.

“Tidak adil untuk kata Liga M akan jadi seperti liga sosial jika FAM digantung kerana struktur dan perjalanan liga jelas berbeza. Pemain-pemain liga sosial tidak menerima gaji bulanan seperti mereka yang beraksi Liga M.

“Bagi saya baik buruk liga kita, kita semua yang harus memainkan peranan masing-masing untuk meletakkan kedudukan standard Liga M. Jika liga luar kita boleh beri sokongan padu kenapa tidak kepada liga kita,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN