KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara, Herry Iman Pierngadi mahu melihat pasangan No. 1 negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik layak ke pentas final Kejohanan Badminton All England pada Mac depan.
Dalam masa yang sama, jurulatih kelahiran Indonesia itu juga memasang impian untuk melihat final berkualiti dengan beregu utama negara itu berdepan gandingan No.1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae.
Herry berkata, berdasarkan kedudukan ranking semasa, Aaron-Wooi Yik berpotensi bertemu juara dunia 2025 itu sekiranya berjaya melepasi halangan awal pada kejohanan bertaraf Super 1000 berkenaan.
“Yang pasti kita perlu tengok undian dahulu. Kalau ikut kedudukan sekarang, Korea Selatan berada di nombor satu dan Aaron serta Wooi Yik di nombor dua. Jadi, saya berharap mereka boleh bertemu semula di final dan peluang itu memang ada,” kata Herry.
Menurut Herry, pertemuan itu seolah-olah ulangan final Terbuka Malaysia yang menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas tipis kepada pasangan Korea Selatan itu pada kejohanan pembuka musim pada awal bulan ini.
“Masa final di Malaysia, sebenarnya kita sudah hampir. Cuma di dua atau tiga mata terakhir, Aaron dan Wooi Yik melakukan beberapa kesilapan. Kalau mata-mata hujung itu dapat dikawal, mungkin keputusannya sedikit berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih dari Indonesia itu memaklumkan beliau telah menambah baik program latihan fizikal yang lebih intensif buat juara dunia 2022 itu menjelang Terbuka Jerman pada 24 Februari, yang dijadikan aksi pemanas badan sebelum All England.
“Kita ada kira-kira tiga minggu persiapan. Dalam tempoh itu, latihan fizikal bukan hanya fokus kepada VO2 max, tetapi juga merangkumi kardio, kekuatan, kuasa dan kelajuan. Setakat ini baru satu sesi dijalankan dan saya lihat pemain sangat bersemangat untuk membuat persiapan menghadapi All England.
“Sepanjang tiga minggu ini, setiap Isnin dan Khamis pada sebelah petang, saya sendiri akan mengendalikan latihan kardio dan ketahanan. Biasanya ada latihan khusus, tetapi kali ini saya mahu pegang sendiri kerana sudah nampak aspek yang perlu ditambah dan diperbaiki,” katanya.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik masih memburu gelaran sulung All England selepas dua kali terlepas kejuaraan itu apabila sekadar muncul naib juara pada edisi 2019 dan 2024.-UTUSAN










