Cunha selamatkan maruah Man United

Cunha selamatkan maruah Man United

PENYERANG Manchester United, Matheus Cunha di asak pertahanan Leeds pada aksi Liga Perdana Inggeris di Elland Road, hari ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEEDS, England: Matheus Cunha muncul penyelamat Manchester United apabila jaringan penyamaan pemain Brazil itu memastikan kelab gergasi berkenaan tidak pulang hampa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terikat 1-1 menentang seteru lama, Leeds United di Elland Road, sebentar tadi.

Skuad kendalian Ruben Amorim terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Brenden Aaronson pada separuh masa kedua, namun Cunha pantas menyamakan kedudukan hanya beberapa minit kemudian untuk meredakan tekanan yang semakin memuncak ke atas kem United.

Keputusan itu menyaksikan Leeds masih gagal menewaskan United dalam lapan pertemuan berturut-turut sejak kejayaan Piala FA di Old Trafford pada 2010, dalam persaingan tradisi yang sentiasa membakar emosi penyokong kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, keputusan seri tersebut jelas merugikan United apabila kegagalan mengutip tiga mata penuh menyebabkan mereka terlepas peluang untuk menembusi kelompok empat teratas liga.

United kini menghuni tangga kelima carta liga dengan hanya satu kemenangan direkodkan daripada lima perlawanan terakhir, sekali gus menambah tekanan terhadap Amorim yang masih mencari konsistensi pasukannya.

Keputusan itu hadir selepas United turut diikat 1-1 oleh Wolves yang bergelut di tangga tercorot liga pada perlawanan Selasa lalu, mencerminkan masalah berterusan dalam menyudahkan peluang.

Sebaliknya, pasukan Leeds dibawah kendalian Daniel Farke terus menampilkan prestasi meyakinkan apabila melebarkan rekod tanpa kalah kepada tujuh perlawanan berturut-turut, selain berjaya menjauhkan diri lapan mata daripada zon penyingkiran.

Beraksi tanpa kapten Bruno Fernandes yang mengalami kecederaan, Amorim mengekalkan formasi 3-4-2-1, namun kekurangan pengalaman di benteng pertahanan muda dihukum apabila Aaronson meledak gol pembukaan pada minit ke-62.

Amorim segera melakukan perubahan dengan memasukkan Joshua Zirkzee, keputusan yang terbukti tepat apabila pemain itu mencipta peluang buat Cunha untuk menyamakan kedudukan, sekali gus menjadikan jaringan tersebut gol ketiganya dalam lima perlawanan terakhir sejak menyertai United dari Wolves.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN