Man United tiada cadangan beli pemain

Man United tiada cadangan beli pemain

Ruben Amorim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester United tidak bercadang melakukan rombakan pemain dalam jendela perpindahan Januari ini meskipun masih bersaing sengit untuk memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pengendalinya, Ruben Amorim berkata, kelab berpegang kepada perancangan sedia ada dan tidak terlibat dalam perbincangan untuk menambah atau melepaskan pemain ketika ini.

“Kami tidak mempunyai sebarang perbincangan mengenai perubahan skuad. Ada satu proses dan idea yang akan diteruskan.

“Kami hampir layak ke Liga Juara-Juara, tetapi pada masa sama pasukan di belakang juga rapat,” katanya.

United yang kini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris berpeluang melonjak ke kelompok empat terbaik sekiranya meraih kemenangan ke atas Leeds United di Elland Road, hari ini, dengan keputusan perlawanan lain memihak kepada mereka.

Skuad The Red Devils hanya ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tempat keempat dan berkongsi mata dengan Chelsea di kedudukan kelima, namun prestasi mereka dibelenggu kecederaan serta ketiadaan beberapa pemain utama.

Amorim turut menafikan dakwaan kononnya terdapat pemain yang mahu meninggalkan Old Trafford, termasuk laporan mengenai minat AS Roma terhadap penyerang Belanda, Joshua Zirkzee.

“Tiada siapa yang meminta untuk pergi. Saya tidak menjangkakan ada pemain datang berjumpa saya untuk perkara seperti itu,” jelasnya.

Menjelang perlawanan menentang Leeds, Amorim menjangkakan barisan pemain yang sama seperti ketika seri 1-1 menentang Wolves akan diturunkan, meskipun beberapa tonggak utama masih belum pulih.

Harry Maguire dan Matthijs de Ligt terus diketepikan akibat kecederaan, manakala Kobbie Mainoo mengalami masalah betis dan kapten Bruno Fernandes bergelut dengan kecederaan otot paha.

Selain itu, Noussair Mazraoui, Bryan Mbeumo dan Amad Diallo pula terlibat dengan tugasan antarabangsa di Piala Negara-Negara Afrika. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN