MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim tanpa berselindung mengakui pasukannya gagal mempamerkan kualiti mencukupi untuk merobek benteng lawan, sekali gus menambah tekanan terhadap misi memburu tiket Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Manchester United sekali lagi dikejutkan di Old Trafford apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Wolverhampton Wanderers, pasukan yang sebelum ini belum merasai kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
“Kami kurang kelancaran, kurang kualiti dan tidak cukup tajam dalam mencipta peluang. Dalam perlawanan sukar, perincian kecil seperti bola mati boleh menentukan segalanya,” katanya.
Meski ditekan, pengendali dari Portugal itu tetap yakin badai akan berlalu sebaik barisan utama kembali cergas.
“Apabila pemain seperti Bruno, Mount dan Mainoo kembali, corak permainan pasti berbeza. Kami sedang menunggu saat itu dan saya percaya United akan bangkit sebagai pasukan yang lebih kuat,” tegasnya.
United terlebih dahulu di hadapan menerusi Joshua Zirkzee, namun kealpaan ketika mempertahankan situasi bola mati dihukum Wolves apabila Ladislav Krejci menanduk masuk gol penyamaan, menamatkan rentetan 12 kekalahan berturut-turut pasukan pelawat.
Ketiadaan tonggak utama jelas menjejaskan rentak United apabila Bruno Fernandes, Mason Mount dan Kobbie Mainoo dibelenggu kecederaan manakala Bryan Mbeumo serta Amad Diallo terikat dengan tugasan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Keputusan seri itu menyaksikan United kekal di tangga keenam liga, dua mata di belakang kelompok empat teratas, namun prestasi hambar di laman sendiri dengan gagal menang empat daripada lima perlawanan terakhir mencetuskan kebimbangan penyokong. – AGENSI/UTUSAN










