MANCHESTER: Michael Carrick dilantik sebagai ketua jurulatih sementara Manchester United sehingga akhir musim ini, susulan pemecatan Ruben Amorim minggu lalu.
Carrick, 44, tiba di pusat latihan Carrington pada pagi Selasa selepas mencapai persetujuan lisan bersama pengurusan kelab dalam mesyuarat yang berlangsung Isnin lalu, melibatkan peranan sementaranya serta struktur barisan kejurulatihan baharu.
Bekas tonggak tengah England itu akan dibantu oleh Steve Holland, bekas pembantu jurulatih pasukan kebangsaan England, dan Jonathan Woodgate yang pernah berkhidmat bersamanya di Middlesbrough.
Jurulatih skuad bawah 21 tahun (B-21) United, Travis Binnion serta Jonny Evans turut dikekalkan dalam pasukan kejurulatihan, manakala Darren Fletcher kembali ke tugasan bersama pasukan bawah 18 tahun (B-18).
United difahamkan akan menilai calon ketua jurulatih tetap dalam beberapa bulan akan datang, namun sumber kelab menjangkakan tiada pergerakan besar dalam jendela perpindahan Januari.
“Mengemudi Manchester United adalah satu penghormatan besar. Saya faham sepenuhnya apa yang diperlukan untuk berjaya di sini.
“Fokus saya kini adalah membantu pemain mencapai standard yang sepatutnya di kelab yang luar biasa ini,” kata Carrick.
Carrick bukan asing dengan Old Trafford apabila menghabiskan 12 tahun sebagai pemain United selain berkhidmat sebagai jurulatih pasukan utama di bawah Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer.
Ini merupakan tugasan kejurulatihan pertamanya sejak meninggalkan Middlesbrough pada Jun lalu.
Cabaran awal Carrick dijangka getir apabila United dijadual menentang Manchester City dalam perlawanan derby hujung minggu ini sebelum berdepan pendahulu liga, Arsenal, minggu berikutnya.
United ketika ini menghuni tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) dan sudah tersingkir daripada kedua-dua saingan piala domestik.- AGENSI










