Pas Perlis tetap kukuh di sebalik kemelut politik

Pas Perlis tetap kukuh di sebalik kemelut politik

AHMAD ADNAN FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas Perlis tetap kukuh di sebalik kemelut politik yang melanda baru-baru ini sehingga membawa kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil berkata, sejak sekian lama, Pas tidak pernah berdiri di atas kuasa semata-mata, kerana kuasa tersebut hanyalah bonus, bukan asas perjuangan parti Islam berkenaan.

Katanya, Pas Perlis terbina di atas ilmu serta tarbiyah dan akar umbi parti itu di negeri ini juga dibina dengan ilmu.

“Justeru, dalam situasi kemelut sekali pun, pengajian di markas-markas tetap berjalan seperti biasa. Dalam pertemuan akar umbi, tidak pun menjadi bahan bualan apa yang sedang berlaku ketika ini. Tiada perpecahan yang nampak, bahkan masing-masing masih menjaga adab dan kasih sayang.

“Organ dan sayap parti pula terus bergerak dan berfungsi, mengikut peranan masing-masing, tidak ada yang lumpuh atau terabaikan,” katanya di sini semalam.

Ahmad Adnan berkata, kejayaan dalam pilihan raya memerlukan undi bukan sahaja daripada ahli Pas, tetapi juga majoriti rakyat.

Katanya, oleh itu, sokongan merentas parti tetap diperlukan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan usaha pengukuhan kerjasama seperti Muafakat Nasional (MN) wajar diperkasakan.

Sementara itu, beliau tidak menafikan aura Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi antara faktor Pas diterima di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Aura itu (Shahidan) juga masih kuat hingga kini dan tidak mustahil Pas akan terus melakar kejayaan dalam PRU16.

“Untuk kekal relevan, Pas Perlis juga memerlukan sentuhan pemimpin muda yang berkarisma, namun pada masa sama mengekalkan ciri kesederhanaan dan kewibawaan sebagai mana tokoh-tokoh seperti (Allahyarham) Datuk Dr. Haron Din; Tuan Guru Hashim Jasin (Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin), dan Shahidan sendiri.

“Kita yakin, pemimpin akan lahir apabila diperlukan, selagi perjuangan ini ikhlas kerana Allah SWT dan tulus berkhidmat untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN