PETALING JAYA: Jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin akhirnya menamatkan penantian panjang apabila meraih pingat emas pertamanya dalam Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025, semalam.
Juara dunia tiga kali itu mempamerkan dominasi jelas dalam kategori 80 kilogram (kg) apabila mencatat angkatan sempurna 201kg untuk menewaskan wakil tuan rumah, Marasri Thongsa yang mengangkat 173kg.
Kejayaan tersebut cukup bermakna buat Bonnie selepas dua penampilan terdahulu di pentas APG gagal menghadiahkan sebarang pingat meskipun hadir dengan status bintang utama acara itu.
Pada penampilan sulungnya di Kuala Lumpur 2017, Bonnie pulang hampa sebelum sekali lagi terlepas peluang meraih pingat pada edisi 2022 di Indonesia.
Sementara itu, jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli terus mengekalkan penguasaannya dalam acara lontar peluru lelaki F20 dengan merangkul pingat emas, kelmarin.
Ziyad mencatat lontaran sejauh 16.81 meter (m) untuk meninggalkan pencabar lain, namun gagal memadam rekod APG miliknya sendiri 16.92m yang dilakar di Solo, Indonesia pada 2022.
Ketika ini, rekod Asia 17.43m yang dilakarnya di Jepun tahun lalu kekal utuh, dengan pencapaian di Thailand sudah memadai untuk memastikan kedudukan teratas di podium.-UTUSAN










