Beri peluang pemain tempatan pamer bakat

Beri peluang pemain tempatan pamer bakat

HARIMAU Malaya akan beraksi dalam kejohanan Piala AFF 2026 pada Julai depan -IHSAN PUMA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saingan Piala AFF 2026 dilihat menjadi medan terbaik buat pemain tempatan menunjukkan kemampuan sebenar di peringkat antarabangsa.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, kejohanan Piala AFF boleh dijadikan platform penting untuk menguji kekuatan pemain tempatan sepenuhnya.

“Jika kita mahu kejayaan segera, memang naturalisasi dan warisan menjadi jalan pintas. Tetapi ia juga membawa masalah besar termasuk isu dokumen palsu yang menjejaskan imej negara.

“Jadi, buat masa ini, gunakan sahaja bakat tempatan yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zulakbal juga menyambut baik hasrat jurulatih negara, Peter Cklamovski yang mahu menggunakan pemain muda dalam kejohanan.

“Ini adalah jalan selamat dan masuk akal. Kita sudah biasa berhadapan pasukan seperti Thailand dan Vietnam dengan pemain tempatan.Jadi, kenapa tidak kali ini kita guna sepenuhnya pemain tempatan?” katanya.

Zulakbal juga menegaskan bahawa persaingan dalam Kumpulan B yang dianggotai Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos amat sengit dan memerlukan persiapan rapi.

“Tiada lagi kejutan dalam ASEAN kerana semua pasukan pastinya berlumba-lumba untuk menang.

“Jadi, jangan jadikan Piala AFF ini sebagai tempat ‘uji kaji’ semata-mata. Kita mesti turunkan pemain terbaik untuk berjuang,” tambahnya.

Selain itu, beliau melihat jadual pertandingan yang tidak termasuk dalam kalendar FIFA sebagai peluang keemasan bagi bakat muda yang sering terpinggir daripada skuad utama.

“Pemain muda perlu manfaatkan peluang ini. Meskipun kurang pemain utama, ini masa terbaik untuk mereka bersinar dan membuktikan diri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN