BAM sasar empat emas di Sukan SEA

BAM sasar empat emas di Sukan SEA

Skuad badminton kebangsaan menyasarkan empat pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand, 7-14 Disember ini. - UTUSAN/AIZAWATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat pingat emas menjadi sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Sukan SEA 2025 dengan tumpuan diberikan kepada acara beregu lelaki, wanita dan campuran serta berpasukan lelaki.

Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sasaran secara keseluruhan adalah tujuh pingat untuk badminton dan empat emas berdasarkan kilauan warna yang menjadi buruan.

“Empat emas, itu sasaran kita. Memandangkan pemain-pemain ini beraksi untuk negara, setelah berbincang dengan Menteri dan pihak pengurusan, kita membuat satu keputusan muktamad.

“Barisan kejurulatihan juga bersetuju, kita harus memberikan yang terbaik untuk negara dan perlu diingat bukan hanya Malaysia yang menghantar pasukan terbaik, negara-negara pesaing turut berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perlepasan Skuad Badminton Kebangsaan ke Sukan SEA 2025 di Thailand yang turut dihadiri Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Tengku Zafrul berkata, jangkaan serta sasaran yang diletakkan berdasarkan kedudukan ranking dan juga mengikut standard semasa barisan pemain negara.

“Kalau kita lihat pencapaian pemain-pemain ini sejak setahun yang lalu seperti beregu campuran dan beregu lelaki, begitu juga berpasukan lelaki, jangkaan memang sepatutnya diletakkan di bahu mereka.

“Untuk berpasukan wanita pula, kita bercakap tentang pingat emas, saya rasa fokus lebih kepada acara beregu wanita, kita memiliki gandingan yang kuat,” katanya.

Justeru, sasaran pingat emas antaranya bakal digalas juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang dilantik selaku kapten skuad kebangsaan.

Selain itu, beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking No. 5 dunia juga berada dalam radar bagi memburu pingat emas, serta gandingan wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah.

Bagi acara berpasukan lelaki pula, walaupun Malaysia sedikit pincang menerusi sektor perseorangan, tetapi, Leong Jun Hao memiliki rekod baik setiap kali beraksi bersama skuad kebangsaan dan dia diberi misi mencuri satu mata bagi menghidupkan harapan emas itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN