PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai seorang tokoh yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri turut menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang memiliki dedikasi tinggi dalam memperkasakan pembangunan politik dan sosioekonomi Sabah.
Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
“Sebagai seorang sahabat lama, saya mengenang Allahyarham sebagai tokoh yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Jasa serta komitmen beliau dalam arena politik, khususnya terhadap rakyat Sabah dan negara, akan terus dihargai dan terpahat dalam ingatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut mendoakan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini serta semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya.
Terdahulu, Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini.
Berita sedih pemergian dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar melalui hantaran di Facebook.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi semalam.
Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar lewat petang semalam.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri, Sabah, Tun Musa Aman turut melawat ADUN Lamag itu ketika menjalani rawatan malam tadi.
Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang berakhir pada Sabtu lalu. – UTUSAN










