WASHINGTON: Anggota Demokrat di Kongres Amerika Syarikat (AS) mendedahkan foto dan video menunjukkan rumah mewah di sebuah pulau milik pesalah seks, Jeffrey Epstein, lokasi beliau didakwa memaksa gadis bawah umur melakukan hubungan seks dengan lelaki berpengaruh.
Foto dan video yang tidak pernah dilihat sebelum ini menunjukkan beberapa bilik tidur di rumah Epstein di Kepulauan Virgin AS, termasuk sebuah bilik dengan topeng yang tergantung di dinding dan sebuah telefon bersama beberapa nama ditulis pada butang dail segera.
Koleksi Imej baharu dari 2020 itu turut menunjukkan sesuatu yang menyerupai kerusi rawatan pergigian dan sebuah bilik dengan papan hitam yang ditulis perkataan seperti, kebenaran, penipuan dan kuasa manakala sebahagian lagi sudah disunting.
Dalam kenyataan, Ketua Jawatankuasa Pengawasan Demokrat, Robert Garcia berkata, imej- imej tersebut secara keseluruhan memberikan pandangan yang menggusarkan mengenai dunia Epstein dan didedahkan bagi memastikan ketelusan awam.
“Kami mendedahkan foto dan video ini untuk memastikan ketelusan awam dalam siasatan kami dan membantu membina gambaran penuh mengenai jenayah keji Epstein. Kami tidak akan berhenti berjuang sehingga gambaran penuh jenayah ngeri Epstein terdedah,” katanya.
Berpuluh-puluh wanita muda dan remaja bawah umur diperdagangkan, dirogol dan didera di pulau itu yang dikenali sebagai Little St James dan dibeli Epstein pada 1998.
Trump dan sekutunya bertahun-tahun mempromosikan teori tokoh Demokrat berpengaruh dilindungi daripada penglibatan dalam kes Epstein, malah menggambarkan skandal itu sebagai simbol bagaimana golongan kaya boleh bersembunyi di sebalik peguam, wang dan hubungan.
Namun Trump sendiri pernah menjadi rakan lama Epstein, menimbulkan persoalan baharu mengenai sejauh mana pengetahuannya tentang figura berprofil tinggi itu.
Selepas memulakan penggal kedua sebagai Presiden pada Januari, Trump berubah daripada menyokong pendedahan fail siasatan Epstein kepada menuduh skandal itu sebagai penipuan dan menentang sebarang pendedahannya.
Pada 19 November lalu, Trump akur dengan tekanan Kongres, termasuk daripada parti Republikan sendiri dan menandatangani undang-undang yang memaksa dokumen tersebut didedahkan serta disiarkan dalam format yang boleh dicari atau dimuat turun.











