SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Politik Kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM69,924.
Pengakuan sama turut dinyatakan oleh Ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei yang didakwa menyogok Shamsul Iskandar @ Yusre, 51.
Kedua-duanya membuat pengakuan demikian selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, Shamsul Iskandar sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri didakwa secara rasuah memperoleh RM69,924 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik seorang wanita secara berperingkat pada 28 November 2023 dan 23 September tahun lalu.
Wang terebut didakwa diterima bagi tujuan pembayaran penyewaan rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur daripada Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli perniagaan itu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Sementara Albert Tei, 37, pula didakwa memberikan suatu suapan berjumlah sedemikian secara berperingkat pada tarikh dan tempat yang sama.
Pertuduhan dikemukakan terhadap Shamsul Iskandar adalah dibawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sementara Albert Tei pula di bawah Seksyen 17(b) akta sama.
Bagaimanapun, sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar kemudian memohon jaminan dan syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh diguna pakai seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Ikat jamin tersebut berjumlah RM150,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Sementara Albert Tei pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM70,000 bersama tiga syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.
Pendakwaan juga memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 14 dan Mahkamah Sesyen 8 Kuala Lumpur untuk dibicarakan sekali bersama empat pertuduhan yang dihadapi mereka di sana.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sama serta memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat pertuduhan yang dihadapinya di sana.
Dalam prosiding itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff dan Joshua Tay mewakili Shamsul Iskandar
Sementara Albert Tei pula diwakili peguam Rajesh Nagarajan, Mahajooth Singh, Amanda Mathew, Reenajit Kaur Golen dan Eric Paulsen.
Semalam, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bekas Ahli Parlimen Bukit Katil itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM176,000 daripada Albert Tei.
Albert Tei ketika dihadapkan ke mahkamah sama turut membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan bagi sebutan semula kes. – UTUSAN










