Petronas nafi taja Liga Bangladesh

Petronas nafi taja Liga Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas tampil memperjelaskan kedudukan sebenar susulan dakwaan yang tular di media sosial kononnya syarikat minyak dan gas negara itu menjadi penaja liga bola sepak utama Bangladesh.

Spekulasi tidak berasas itu tercetus selepas beberapa hantaran memaparkan logo Petronas dikaitkan dengan struktur penjenamaan baharu liga berkenaan sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan luar negara.

Dalam satu kenyataan rasmi semalam, Petronas menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian penajaan dimeterai dengan Liga Bola Sepak Bangladesh, sekali gus menafikan khabar angin yang berlegar sejak beberapa hari lalu.

Menurut syarikat itu, penggunaan nama dan jenama Petronas dalam bahan promosi yang tular langsung tidak mendapat kebenaran, malah pihaknya tidak pernah terlibat dalam apa-apa rundingan berkaitan liga tersebut.

Petronas turut menegaskan bahawa integriti jenama merupakan keutamaan, khususnya apabila melibatkan penyebaran maklumat tidak sahih di platform digital yang boleh menjejaskan reputasi korporat syarikat.

“Petronas tidak memasuki apa-apa perjanjian penajaan untuk Liga Bola Sepak Bangladesh dan kami tidak memberi kebenaran untuk penggunaan nama atau jenama Petronas berhubung liga berkenaan.

“Petronas mengambil serius integriti jenama kami dan akan terus memberi tumpuan untuk menyampaikan nilai kepada komuniti serta pemegang taruh di mana kami beroperasi,” jelas Petronas dalam kenyataan itu.

Penjelasan tersebut sekali gus menamatkan spekulasi yang membawa pelbagai tafsiran dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan kononnya Petronas bersedia memasuki pasaran bola sepak Asia Selatan melalui kerjasama penajaan.

Sebelum ini, Petronas turut menarik perhatian antarabangsa apabila memperkenalkan kotak korporat eksklusif di Stadium Allianz Juventus, Itali salah satu ruang hospitaliti VIP paling premium di Eropah.

Inisiatif berprofil tinggi itu dijalankan menerusi anak syarikatnya, Petronas Lubricants International (PLI), hasil kerjasama dengan kelab gergasi Serie A, Juventus, sebagai usaha memperkukuhkan hubungan bersama pelanggan dan pengedar di pasaran Eropah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN