NOTTINGHAM: Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo mengakui para pemain kini mula yakin dengan taktikal dan sistem yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Ruben Amorim.
Diallo yang muncul wira selepas meledak gol penyamaan ketika United terikat 2-2 dengan Nottingham Forest semalam, berkata, semangat berpasukan United juga semakin baik.
Dalam aksi menentang Forest, gol voli menakjubkan daripada Diallo menyelamatkan United daripada kekalahan selepas melakar keputusan positif dalam beberapa perlawanan terakhir.
United yang tampil dengan misi memburu kemenangan keempat berturut-turut di bawah kendalian Amorim bermula baik apabila Casemiro menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-34.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Forest bangkit pantas sejurus babak kedua bermula dengan dua jaringan dalam tempoh kurang dua minit menerusi Morgan Gibbs-White dan Nicolo Savona.
Diallo menjadi penyelamat apabila melepaskan voli deras dari luar kotak penalti sembilan minit sebelum tamat untuk memastikan United membawa pulang satu mata berharga.
Pemain sayap itu hampir mencetak gol kemenangan pada masa kecederaan namun rembatan keduanya dinafikan pertahanan Forest di atas garisan gol.
“Kami kecewa hanya dapat satu mata, tapi pasukan kini makin yakin dan percaya dengan sistem jurulatih. Ini yang sepatutnya ada sejak musim lalu untuk kami pamerkan kualiti sebenar,” kata Diallo.
Sementara itu, Amorim menegaskan skuad bimbingannya kini mempunyai kekuatan mental lebih baik berbanding musim lalu selepas bangkit untuk mengikat Forest.
“Kami kehilangan kawalan permainan selama lima minit, tetapi saya dapat rasakan pemain benar-benar berusaha, baik ketika latihan mahupun dalam perlawanan hari ini.
“Musim lalu, jika kami bolos dua gol cepat seperti itu, kami tidak akan mampu bangkit. Tapi hari ini rasa itu berbeza. Walaupun kami tahu sukar menang, kami juga tahu kami tidak akan kalah.
“Itulah perasaan yang sepatutnya dimiliki pasukan besar. Musim lalu, kami kalah dengan lebih banyak gol,” kata Amorim.
Kemenangan sepatutnya membawa United naik ke tangga kedua liga, berbeza jauh dengan kedudukan ke-15 yang mereka tamatkan musim lalu.- AGENSI

								
											








