PIRAEUS: Kylian Mbappe muncul wira apabila meledak empat gol ketika Real Madrid bangkit menewaskan Olympiakos 4-3 pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Dalam aksi itu, Chiquinho meledak gol awal dari jarak 18 meter selepas satu gerakan kemas, namun Mbappe mencuri tumpuan dengan mempamerkan penyudah terbaik.
Kapten Perancis itu merembat di celah kaki penjaga gol Olympiakos, Kostas Tzolakis untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-22 selepas menerima hantaran cemerlang Vinicius Junior.
Mbappe menambah gol kedua dua minit kemudian apabila menanduk rendah ke penjuru gol hasil hantaran silang Arda Guler.
Penyerang prolfik itu melengkapkan hatrik kedua terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila meluru bebas dan menewaskan Tzolakis sekali lagi, menghasilkan tiga gol dalam tempoh hanya enam minit 42 saat.
Real tidak pernah menang di gelanggang pasukan Greece dalam tujuh kunjungan sebelum ini, tetapi Mbappe memastikan rekod buruk itu berakhir apabila dia menyudahkan gol keempat selepas gerakan cemerlang Vinicius di sebelah kiri.
Pemain gantian, Mehdi Taremi yang masuk menggantikan Chiquinho menghidupkan semula peluang Olympiakos dengan tandukan padu menewaskan penjaga gol gantian Madrid, Andriy Lunin pada minit ke-52.
Ayoub El Kaabi merapatkan kedudukan dengan baki sembilan minit, namun Real bertahan untuk meraih kemenangan keempat dalam lima aksi Liga Juara-Juara.-AGENSI










