Kai Wun tanggung kesakitan demi WTF

Kai Wun tanggung kesakitan demi WTF

Man Wei Chong-Tee Kai Wun antara pasangan yang diberikan perhatian dalam usaha memperkasakan pasukan beregu badminton negara. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 5 dunia, Tee Kai Wun tidak sanggup kehilangan mata dalam perjuangannya memburu slot ke Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, Disember ini.

Kai Wun yang berpasangan dengan Man Wei Chong berkata, biarpun berdepan kecederaan, beliau sanggup melakukan apa sahaja demi kariernya dalam dunia badminton.

Pemain kelahiran Melaka itu berkata, bagi yang mengenali, mereka tahu dirinya adalah pemain yang sering ditimpa kecederaan dan untuk layak ke WTF, banyak pengorbanan perlu diharungi.

“Saya sendiri sahaja tahu apa yang saya sedang tanggung, mungkin saya nampak okay, tetapi orang lain tak tahu, saya psiko diri sendiri, kalau ikutkan memang tak boleh main.

“Semasa saya bermain di Terbuka Perancis, saya masih menanggung kesakitan, demi pertandingan saya kena teruskan, perlawanan demi perlawanan.

“Kecederaan saya ini mungkin dah berlarutan sejak dua atau tiga bulan lalu, saya tak buat pemeriksaan, semasa sesi latihan saya memang terasa sakit sehingga kaki tak boleh bergerak,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, kelmarin.

Kai Wun-Wei Chong kini menghuni ranking No. 3 dalam Jelajah Dunia, tetapi bersaing dengan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bagi merebut satu lagi slot untuk Malaysia memaksa mereka menyertai beberapa kejohanan yang masih berbaki.

Pasangan No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik telahpun mengesahkan tempat mereka ke Hangzhou, sekali gus meninggalkan hanya satu lagi slot untuk direbut dua beregu negara itu.

Mengulas mengenai kecederaan yang menimpanya, Kai Wun berkata, dia mengalami kecederaan otot dan juga tendon di bahagian betis sehingga belakang lututnya.

“Berlaku koyakkan kira-kira tujuh sentimeter, lagi sikit hendak putus. Masalah ini saya alami sebelum kejohanan di Finland lagi dan masa itu ingat mahu paksa diri main.

“Tapi bila buat MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), koyakkan terlalu besar, jadi, ambil dua minggu (untuk pulih), saya cuba di Terbuka Perancis, masih rasa sakit kerana bengkak ada lagi,” katanya yang terkandas di suku akhir sewaktu di Paris.

Meneruskan perjuang pada Terbuka Hylo di Jerman yang menyaksikan Wei Chong-Kai Wun tersingkir di separuh akhir, minggu lalu, katanya, dia kini fokus untuk sembuh sebelum meneruskan perjuangan di Kumamoto Jepun Masters, minggu depan,manakala, penyertaannya di Terbuka Australia masih belum dipastikan lagi.

“Kami masih belum layak ke WTF, jadi, kami kena main lagi di Kumamoto, harap dapat tambah mata di sana, kita perlu teruskan perjuangan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN