PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi merehatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik daripada dua kejohanan terakhir bulan ini bagi memulihkan prestasi mereka menjelang kempen lebih besar pada bulan depan.
Pasangan No. 2 dunia itu tidak akan beraksi pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun dari 11 hingga 16 November serta Terbuka Australia pada 18 hingga 23 November ini.
Keputusan itu dibuat selepas prestasi tidak menentu sepanjang siri jelajah Eropah, termasuk tersingkir awal di Terbuka Denmark dan hanya mara ke suku akhir Terbuka Hylo minggu lalu.
“Prestasi mereka agak turun naik kerana jadual kejohanan yang agak padat. Jadi mereka perlukan rehat untuk segarkan semula badan dan mental,
“Mereka sudah layak ke Jelajah Dunia Akhir (WTF). Jadi fokus sekarang ialah latihan berkualiti supaya benar-benar bersedia menghadapi Sukan SEA dan WTF,” kata Herry ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Herry, juara dunia 2022 itu juga perlu menajamkan semula tumpuan dan permainan bagi mengurangkan kesilapan mudah yang menjadi kelebihan buat lawan terutamanya kepada beregu Indonesia yang mengenali corak permainan mereka.
“Mereka bermain dengan agak ‘gelojoh’ kadang kala menyebabkan pihak lawan sering mengambil ia sebagai kelebihan. Itu yang sering membawa kepada kesilapan mudah,” katanya.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik yang sudah merangkul tiga kejuaraan musim ini termasuk Kejohanan Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura dan dijangka kembali ke gelanggang pada bagi acara badminton Sukan SEA Thailand dari 7 hingga 14 Disember sebelum menamatkan musim di WTF di Hangzhou, China.-UTUSAN










