PETALING JAYA: Selepas mendapat tiket ‘wild card’ Moto3 pada Grand Prix (GP) Malaysia, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus diberi kepercayaan tampil selaku pelumba ganti bagi pasukan MT Helmets-MSi untuk dua baki pusingan Kejuaraan Motosikal Dunia di Portugal dan Sepanyol.
Anak muda berusia 18 tahun itu akan menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka yang ditimpa kecederaan dan perlu menjalani pembedahan jari kirinya.
Berikutan ketiadaan Yamanaka, pasukan MSi memutuskan untuk menyenaraikan Hakim Danish sebagai pelumba ganti bergandingan bersama pelumba Sepanyol, Angel Piqueras yang kini berada di kedudukan No. 2 dalam senarai pelumba Moto3 dengan kutipan 251 mata.
Ini bermakna Hakim Danish bakal mengharungi jadual padat, bulan ini, kerana dia juga masih perlu melengkapkan perlumbaan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP yang berbaki satu lagi pusingan di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, 23 November ini.
Semalam, anak jati Terengganu itu baru sahaja melengkapkan pusingan keenam JuniorGP di Barcelona dan minggu ini, dia bakal mengharungi GP Portugal di Litar Portimao, sebelum beraksi perlumbaan penutup musim pada GP Valencia, minggu berikutnya (16 November).
Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengucapkan terima kasih kepada MSi Racing Team yang memberi peluang kepada Hakim Danish beraksi dalam baki dua perlumbaan Kejuaraan Dunia.
“Saya rasa ini satu ujian untuk Danish sebelum dia tampil bersama pasukan MSi semusim penuh bermula tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas harapannya terhadap Hakim Danish untuk dua baki pusingan tersebut, Zulfahmi berkata, secara jujurnya, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran untuk pelumba itu dalam penampilannya di Portimao dan Valencia.
“Saya cuma berharap Danish dapat berlumba dengan baik dan berusaha menjadi lebih kompetitif bersaing di kelompok hadapan,” katanya.
Pasukan MSi kini berada di tempat kedua di belakang Red Bull KTM Ajo yang mendahului saingan bagi kelas Moto3 dengan pelumba mereka, Jose Antonio Rueda telahpun dinobatkan selaku juara dunia bagi musim 2025.-UTUSAN










