Pekerja kilang enggan pulangkan duit gaji 34 rakan sekerja tersalah masuk akaunnya - Utusan Malaysia

Pekerja kilang enggan pulangkan duit gaji 34 rakan sekerja tersalah masuk akaunnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Seorang pekerja kilang di Khanty-Mansiysk, Russia berdepan tindakan undang-undang selepas enggan memulangkan lebih tujuh juta rubel (RM367,956) yang tersilap dimasukkan ke dalam akaunnya akibat masalah sistem komputer.

Pada awal tahun ini, Vladimir Rychagov terkejut apabila menerima notifikasi daripada aplikasi banknya selain jumlah 46,954 rubel (RM2,429) yang sepatutnya diterima sebagai bayaran cuti, akaunnya turut dikreditkan dengan 7,112,254 rubel (RM367,956).

Pada mulanya, Rychagov menyangka ia mungkin sebahagian daripada bonus besar yang dikatakan bakal diterima oleh semua pekerja selepas tahun kewangan yang menguntungkan.

Namun kegembiraannya tidak bertahan lama apabila pihak akaun kilang menghubunginya untuk memaklumkan bahawa wang itu tersilap dipindahkan dan perlu dikembalikan segera.

Selepas membuat carian di internet, Rychagov memutuskan tidak mahu memulangkan wang tersebut.

“Saya dapati bahawa jika ia ralat teknikal, terpulang kepada penerima sama ada mahu memulangkan atau tidak. Tapi kalau ralat bil, barulah wajib dipulangkan. Kemudian saya tahu ia ralat teknikal, jadi saya rasa saya berhak menyimpan wang itu,” katanya kepada saluran televisyen Channel 5.

Menurut dokumen mahkamah, wang berkenaan sebenarnya adalah gaji untuk 34 pekerja di cawangan lain, namun akibat gangguan perisian, keseluruhan jumlah tersebut dimasukkan ke akaun Rychagov.

Dalam pembelaannya, Rychagov mendakwa bahawa bayaran itu dibuat atas nama syarikat, bukannya cawangan tertentu, dan tertera sebagai gaji dalam arahan pembayaran, justeru beliau menganggap ia sah miliknya.

Beliau turut mendakwa bahawa selepas beberapa permintaan daripada pihak syarikat, pihak pengurusan mula mengugutnya, menyebabkan dia menggunakan wang tersebut untuk membeli kereta baharu dan berpindah ke bandar lain bersama keluarganya.

Namun, semasa dalam perjalanan ke tempat baharu, kilang tempatnya bekerja memfailkan saman terhadapnya, dan semua akaun banknya telah dibekukan.

“Mereka menuduh saya bersekongkol dengan pegawai akaun dan melakukan penipuan ekonomi. Tetapi tuduhan itu akhirnya digugurkan kerana tiada bukti,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN