JOHOR BAHRU: Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Malaysia–Singapura mencatatkan kemajuan 65 peratus selepas struktur Stesen Bukit Chagar serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) hampir siap sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kemajuan RTS Link Malaysia–Singapura itu pada tahap memberangsangkan dengan jejambat mencapai 91 peratus siap, stesen 73 peratus dan CIQ pada tahap 76.8 peratus.
Jelasnya, perkembangan pesat projek mega itu sekali gus menandakan kemajuan signifikan dalam usaha menyediakan perkhidmatan rel moden menghubungkan dua negara jiran tersebut.
“Hari ini saya buat lawatan pertama ke tapak sebaik struktur siap. Kita dah boleh naik sampai ke tingkat platform dan melihat sendiri aliran pergerakan penumpang
“Lebih menggembirakan, set tren RTS dijangka tiba di Depoh Wadi Hana pertengahan November ini sebelum ujian pergerakan bermula sekitar Disember.
“Namun begitu, orang ramai masih belum dibenarkan menaiki tren pada fasa awal kerana proses integrasi sistem, ujian keselamatan, signaling dan pelbagai pemeriksaan lain perlu disempurnakan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat dan tinjauan kemajuan Projek RTS Link di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICCQ) Stesen Bukit Chagar di sini hari ini.
Siew Fook berkata, projek berimpak tinggi itu tetap disasarkan siap sepenuhnya 31 Disember 2026 dan beroperasi mulai Januari 2027.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTSO, Dr. Ahmad Marzuki Ariffin memaklumkan kerja-kerja sistem dan operasi kini telah mencapai 65 peratus.
Katanya, satu tren akan dibawa dari Singapore Rail Test Track manakala tiga lagi set tren dari Batu Gajah akan tiba sebelum hujung tahun ini. – UTUSAN










